Ads 468x60px

Labels

agama (26) akhir (1) akhlak (17) Aku (38) baru (2) ibadah (7) idea (1) perkongsian (40) puisi (5) tafsir (8) Zikr (31)

Monday 9 January 2012

Mengumpat (ghibah) 1

Mengumpat merupakan satu sifat yang tercela dalam islam. Agama islam mengharamkan perbuatan mengumpat dan melarang keras umatnya mengumpat. Pengharaman sifat ini dinyatakan dalam surah Al Hujuraat :


12. 
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.



Rasulullah juga benci dengan  pengumpat kerana mereka telah membuka aib orang lain yang sepatutnya dirahsiakan. Perbuatan mengumpat ini umpama pedang yang dikeluarkan daripada mulut manusia, daripada perkataan-perkataan yang menusuk dalam jiwa dan hati saudaranya. Semakin banyak perkataan itu didengari oleh masyarakat, semakin parahlah luka saudaranya yang dibuka aibnya itu menyebabkan perasaannya menjadi bengis dan penuh dengan kekecewaan. Penyakit jiwa sangat susah untuk diubati bukan seperti demam yang hanya perlu memakan ubat paracetamol yang diberi oleh doktor. Walaupun saudara yang dibuka aibnya itu seorang yang penyabar dan mengubati hatinya dengan beribadah kepada Allah, namun lambat laun hatinya akan berasa lemah dan tidak kuat untuk menghadapi ujian yang kian menjadi lebih parah sepertimana manusia yang mengalami kecederaan akibat dilanggar oleh kenderaan orang lain, jika tidak dirawat atau dipertanggungjawabkan oleh orang yang melanggarnya atau masyarakat setempat maka dia mungkin akan mati kerana kehilangan darah yang banyak.
                   
: عن أبي هريرة رضي الله عنه : رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول
"أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ؟" قَالُوا: اللهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: "ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ"، قِيلَ: أَفَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ فِي أَخِي مَا أَقُولُ؟ قَالَ: "إِنْ كَانَ فِيهِ مَا تَقُولُ فَقَدِ اغْتَبْتَهُ وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِيهِ فَقَدْ بَهَتَّهُ"


Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Tahukah kamu apa yang dikatakan Ghibah (mengumpat)?" Jawab para sahabat, "Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu." Sabda Rasulullah saw., "Ghibah, iaitu mempercakapkan saudara mu tentang hal yang tidak disukainya." Ditanya orang beliau, "Bagaimana kalau yang kami percakapkan itu ternyata memang benar?" Jawab beliau, "Jika yang kamu ucapkan ternyata benar, bererti engkau menggumpat. Dan Jika tidak benar, bererti engkau melakukan suatu kebohongan tentang dirinya."



Aisyah Radiallahuanha berkata : "saya telah berkata kepada Rasulullah SAW : cukuplah bagimu Safiah yang bersikap begini-begini." Aisyah memaksudkan Safiah pendek orangnya. Maka Rasulullah SAW bersabda menjawab : "Kau telah menuturkan perkataan yang kalau dicampurkan dengan air laut ia akan mengubah warna laut itu." Kita mestilah turut membenci perbuatan mengumpat ini dan mempertahankan orang yang dibukakan aibnya dan mencela orang yang mengumpat, memaksanya untuk berhenti daripada meneruskan sifatnya yang tercela itu serta meminta maaf dengan orang yang telah dia umpati itu. Hal ini demikian kerana Allah hanya akan mengampuni orang yang mengumpat dengan izin orang yang diumpati sama ada dia ingin memaafkan perbuatan mencela dirinya atau tidak. 


Mengumpat itu tidak semestinya terbatas dengan lisan sahaja malah ia juga boleh dilakukan dalam perbuatan 
seperti tindakan melakukan isyarat mata, mulut, tangan dan penulisan bertujuan untuk menghina orang itu dihadapan orang-orang lain. 


Perbuatan mengumpat adakalanya menjadi harus jika :


1) mengumpat kepada golongan-golongan yang mengadakan bid'ah


2) mengumpat kepada golongan-golongan yang fasik dan menzahirkan kefasikannya


3) mengumpat kepada golongan-golongan pemimpin yang zalim dan tidak menepati tuntutan agama islam


4) untuk meminta fatwa atau pertolongan daripada orang-orang yang alim tentang masalah yang dihadapi yang melibatkan aib orang lain dengan tujuan untuk menyelesaikan masalah diri atau orang tersebut. Contohnya, mendedahkan aib ibu bapa yang merogol anak kepada orang lain untuk menyelamatkan anak itu daripada menjadi mangsa sosial yang melampau.





0 comments:

Post a Comment

 
Blogger Templates