Monday, 20 May 2013
Huraian surah Al Waaqiah Ayat 63-74
Ayat 63-67 : Allah menyuruh manusia supaya memerhatikan tanaman yang mereka tanam, merekakah yang menumbuhkannya ataupun Allah? Tidak syak lagi bahawa tugas manusia hanya membajak tanah dan menanam benih, sedangkan yang menumbuhkannya adalah Allah SWT. Allah lah yang mengaturkan perjalanan hidup tanaman yang ditanam itu, yang tidak dapat dibayangkan oleh akal, iaitu satu perjalanan yang menakjubkan dan tidak dapat digambarkan bahawa dalam biji tanaman itu terdapat batang pokok, daun-daun dan tangkai yang mengeluarkan buah-buah.
Begitu jugalah kehidupan sesudah mati itu amatlah mudah bagi Allah untuk melakukannya, sama seperti menghidupkan biji yang sudah kering dan mati.
Ayat 68-70 : Allah menyuruh manusia berfikir, kehidupan setiap makhluk hidup di atas bumi ini bergantung kepada air, soalnya siapakah yang mendatangkan air yang diminum itu? Air hujan yang turun, kemudian meresap ke bumi, seterusnya menjadi telaga dan mata air untuk bekalan hidup seluruh makhluk. Kitakah yang menurunkan hujan itu atau Allah? sudah tentu Allah yang menurunkannya.
Para ahli sains menjelaskan proses terjadinya hujan bermula dari pengewapan air laut kerana panas matahari, kemudian wap air berkumpul di atas awan, lalu turunlah air laut menjadi hujan. Namun, bagaimanakah wap air laut naik ke atas awan?
Pengalaman Hamka, penulis tafsir al-Azhar, ketika beliau berlayar pada tahun 1954 dari tanjung pinang ke singapura, beliau berkata :
" Kira-kira pukul 2 siang, kelihatan langit menjadi keruh kerana awan yang telah nampak berkumpul-kumpul kehitaman, tapi belum tebal menghitam benar. Lalu tiba-tiba datang angin ribut yang agak besar, sehingga lautan yang kami layari agak besar ombaknya. Dan dalam waktu yang tidak lama kelihatan awan tadi menurun (menyerupai) "lidah" raksaksa yang menukik ke bawah dan kedengaran suara sebagai bunyi mesin di sebuah pabrik (kilang) besar. Lalu kelihatan pula awan tadi naik ke atas sesudah menjulurkan lidahnya ke dalam laut tadi. Dia naik kembali dan dengan kencangnya pula dia menuju berarak ke daerah sebelah selatan, iaitu semenanjung tanah melayu. di sana kelihatan dia menjadi awan tebal lalu jatuh jadi hujan. Kelihatan dengan nyata sekali bahawa awan yang turun sebagai lidah raksaksa tadi dan naik kembali ke udara dengan bunyi yang dahsyat itu ialah awan yang menarik air laut, dan di bawa ke daerah lain. Di daerah lain itu baru dia turun sebagai hujan. Dan waktu yang dipakai untuk menyauk air laut itu tidak lama, tidak cukup setengah jam, mungkin hanya sekitar seperempat jam sahaja, jelas hujan turun di daerah yang kita namai Malaysia."
Begitulah proses terjadinya hujan yang disaksikan sendiri oleh Hamka. Siapakah yang memerintahkan awan untuk menyauk air laut itu? siapa pula yang memerintahkannya pergi ke daerah tertentu untuk menurunkan air laut sebagai hujan? Air laut yang disauk oleh awan itu adalah masin, namun dalam beberapa minit sahaja diturunkan sebagai hujan yang tawar. Siapa yang menjadikan air laut itu masin dan siapa yang menjadikan air hujan itu tawar??
Ayat 71-73 : Ayat ini membawa maksud bahawa api yang kamu perolehi dengan menggosok-gosokkan kayu yang kamu ambil dari dahan pohon sebagai pemetik api sehingga dapat mengeluarkan api. Orang arab di masa lampau menggunakan dua jenis kayu untuk keperluan ini iaitu, kayu al Marh dan kayu al 'Ifar. Apabila masih hijau, lalu digosokkan antara satu sama lain, maka keluarlah percikan api dari keduanya.
sejarah manusia menemui api merupakan satu peristiwa yang amat besar. Tetapi kini api telah menjadi suatu perkara yang terlalu biasa dan tidak lagi menarik perhatian. Memang manusia yang menyalakan api, namun siapakah yang menciptakan bahan bakarnya? di sana ada satu perkara yang menarik perhatian apabila Al Quran menyebut "pokok kayu api".
Allah menjadikan api itu sebagai peringatan bagi manusia. apa maksud peringatan tersebut? Mujahid dan Qatadah mengatakan bahawa yang dimaksudkannya ialah untuk mengingatkan manusia akan api yang besar iaitu api neraka. Api juga dijadikan Allah sebagai penerang bagi para musafir.
Ayat 74 : Dengan kemajuan sains dan teknologi yang diberikan Allah kepada manusia pada ketika ini, bahan bakar tidak lagi berbentuk kayu, kita manggunakan minyak, gas dan api elektrik. Para musafir berjalan menggunakan kereta, kapal laut, kapal terbang dan lain-lainnya di mana bahan bakarnya berupa minyak dan gas. Kita kini diterangi dengan lampu minyak dan elektrik, bukan dengan api yang menyala membakar kayu api. Begitulah kehidupan manusia, dari satu generasi ke generasi semakin senang berkat kasih sayang dan rahmat Allah SWT. Sudah sepatutnya kita bertasbih memuji nama Allah dan bersyukur kepada Nya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment