Ads 468x60px

Labels

agama (26) akhir (1) akhlak (17) Aku (38) baru (2) ibadah (7) idea (1) perkongsian (40) puisi (5) tafsir (8) Zikr (31)
Showing posts with label tafsir. Show all posts
Showing posts with label tafsir. Show all posts

Saturday, 16 November 2013

Huraian Surah Al Waqi'ah Ayat 75-82

75. ۞ فَلَا أُقْسِمُ بِمَوَاقِعِ النُّجُومِ
Maka Aku bersumpah: Demi tempat-tempat dan masa-masa turunnya bahagian-bahagian Al-Quran;
76. وَإِنَّهُ لَقَسَمٌ لَوْ تَعْلَمُونَ عَظِيمٌ
Dan sebenarnya sumpah itu adalah sumpah yang besar, kalaulah kamu mengetahuinya, -
77. إِنَّهُ لَقُرْآنٌ كَرِيمٌ
Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan),
78. فِي كِتَابٍ مَكْنُونٍ
Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara,
79. لَا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ
Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci;
80. تَنْزِيلٌ مِنْ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.
81. أَفَبِهَٰذَا الْحَدِيثِ أَنْتُمْ مُدْهِنُونَ
Patutkah kamu (wahai golongan yang kufur ingkar) bersikap sambil lewa terhadap keterangan-keterangan Al-Quran ini?
82. وَتَجْعَلُونَ رِزْقَكُمْ أَنَّكُمْ تُكَذِّبُونَ
Dan kamu jadikan sikap kamu mendustakannya (sebagai ganti) bahagian dan nasib kamu (menerima dan bersyukur akan ajarannya)?
Surah Al Waqi'ah Ayat 75-82
Ayat 75 =Perkataan "لَا أُقْسِمُ" adalah sumpah yang lazim digunakan oleh bangsa arab dalam pembicaraan mereka. Huruf La itu bermaksud "tidak" atau memberi maksud an nafiah iaitu menafikan, tetapi pada huruf tambahan iaitu "أُقْسِمُ" sebagai mempertegaskan sumpah tersebut. Tertulis "لَا أُقْسِمُ" erti yang asli ialah "aku tidak bersumpah" namun maksudnya yang sebenar ialah "aku benar-benar bersumpah". melalui ayat ini Allah bersumpah secara khusus dengan orbit bintang-bintang atau planet-planet. Ayat ini mengingatkan kepada orang-orang yang menyembah bintang dan mempercayai ilmu nujum bahawa dengan terbenamnya benda-benda itu bererti hilanglah pengaruhnya, tentu ada pemberi pengaruh yang kekal, iaitu Allah SWT. 

76. فَلَمَّا جَنَّ عَلَيْهِ اللَّيْلُ رَأَىٰ كَوْكَبًا ۖ قَالَ هَٰذَا رَبِّي ۖ فَلَمَّا أَفَلَ قَالَ لَا أُحِبُّ الْآفِلِينَ
Maka ketika dia berada pada waktu malam yang gelap, dia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu dia berkata: Inikah Tuhanku? Kemudian apabila bintang itu terbenam, dia berkata pula: Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang.
77. فَلَمَّا رَأَى الْقَمَرَ بَازِغًا قَالَ هَٰذَا رَبِّي ۖ فَلَمَّا أَفَلَ قَالَ لَئِنْ لَمْ يَهْدِنِي رَبِّي لَأَكُونَنَّ مِنَ الْقَوْمِ الضَّالِّينَ
Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: Inikah Tuhanku? Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat.
78. فَلَمَّا رَأَى الشَّمْسَ بَازِغَةً قَالَ هَٰذَا رَبِّي هَٰذَا أَكْبَرُ ۖ فَلَمَّا أَفَلَتْ قَالَ يَا قَوْمِ إِنِّي بَرِيءٌ مِمَّا تُشْرِكُونَ
Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: Inikah Tuhanku? Ini lebih besar. Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: Wahai kaumku! Sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya).
[Surah Al-An'am (6) : (76-78)]
Ayat 76 = Mengapa sumpah ini disebut sumpah yang sangat besar? Hanya Allah sahaja yang tahu. Tetapi apabila kita fikirkan, seandainya bintang-bintang dan planet-planet yang ada dalam sistem suria kita ini terkeluar daripada orbitnya atau tempat peredarannya, apakah yang akan berlaku? sudah tentu planet-planet akan  bertembung dan kehancuran akan berlaku.

Sila rujuk [Surah Fatir (35):(41)]

Ayat 77= Ayat ini menerangkan bahawa Al Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW benar-benar kitab yang agung dan bacaan yang mulia. Sebahagian ulama mengatakan bahawa huruf La yang terdapat pada awal sumpah itu bukanlah za'idah yang tidak bermakna, tetapi ia didatangkan pada permulaan qasam apabila objek yang disebut sesudah sumpah itu dinafikan orang. Seperti yang terdapat dalam perkataan Aishah ra  "Tidak, demi Allah tangan Rasulullah sama sekali belum pernah menyentuh tangan wanita lain". Maka demikiannyalah hal di sini, di mana objek yang disebut sesudah sumpah itu dinafikan kebenarannya oleh orang-orang kafir. Jadi, maksud daripada kata sumpah tersebut adalah "tidak, Aku bersumpah dengan tempat beredarnya bintang-bintang, duduk perkara ini bukanlah seperti sangkaan mereka terhadap Al Quran, bahawa Al Quran itu adalah sihir atau tenung, Tetapi Al Quran itu adalah bacaan yang sangat mulia". 

Menurut Al Maraghi, Al Azhari mengatakan bahawa perkataan karim yang bererti samgat mulia yang disifatkan kepada Al Quran pada ayat tadi adalah kata nama yang memuatkan pengertian apa sahaja yang terpuji. Malah Al Quran itu sememangnya terpuji kerana memuatkan petunjuk dan keterangan, ilmu dan hikmat. Seorang faqih menjadikan Al Quran sebagai dalil dan mengambil pengajaran daripadanya dan menjadikannya sebagai hujjah. Seorang sasterawan juga mengambil faedah daripada Al Quran. Jadi setiap ilmuwan akan mencari dasar ilmunya daripada Al Quran.

Ayat 78-82 = Al Quran bukan syair atau sihir, tetapi ia adalah bacaan yang sangat mulia, yang tersimpan dalam kitab yang terpelihara lagi dimuliakan, kemudian ia diturunkan kepada Nabi Muhammad atas arahan daripada Allah SWT. Melalui ayat ini dapat kita fahami bahawa Al Quran sebelum diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW tersimpan rapi dan terjaga di Luh Mahfuz. Luh bererti "buku atau kitab bacaan, atau dokumen untuk merekodkan sesuatu", dan perkataan Mahfuz bermakna "yang tersimpan dan terpelihara". 

Sehubungan dengan ini, sungguhpun ayat (ertinya) : " Tidaklah menyentuhnya kecuali orang-orang yang telah disucikan" bermaksud bahawa Al Quran yang terpelihara di Luh Mahfuz itu tidak disentuh melainkan oleh para malaikat, namun para Ulama kemudian membincangkan hukum menyentuh mushaf Al Quran yang ada sekarang ini, apakah hukumnya menyentuhnya tanpa bersuci atau tanpa wuduk? Jumhur ulama melarang orang yang berhadas menyentuh Al Quran, begitulah pendapat Ali bin Abi Talib, Ibn Mas'ud, Sa'ad b abi waqas dan sebahagian ulama fiqh seperti imam Malik dan imam As Syafi'i. Tetapi Ibn Abbas, Al Sya'bi dan ulama Fiqh lainnya seperti Abu Hanifah membolehkan orang berhadas menyentuh mishaf Al Quran. Menurut masalah ini Ibn Taimiyyah berkata :

"sesungguhnya ayat tersebut (ayat 79) menunjukkan sesuatu hukum melalui isyarat, Apabila Allah SWT menceritakan bahawasanya lembaran-lembaran suci (Al Quran) yang tersimpan di langit tidak disentuh melainkan oleh orang-orang yang suci, maka mushaf Al Quran yang ada di tangan kita sekarang sepatutnya tidak juga disentuh melainkan oleh orang yang suci daripada hadas".

Sunday, 18 August 2013

Huraian surah Al Waaqiah Ayat 22-26


22.  وَحُورٌ عِينٌ
  Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya,
23.  كَأَمْثَالِ اللُّؤْلُؤِ الْمَكْنُونِ
  Seperti mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya.
24.  جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
  (Semuanya itu) sebagai balasan bagi (amal-amal baik) yang mereka telah kerjakan.
25.  لَا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًا وَلَا تَأْثِيمًا
  Mereka tidak akan mendengar dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa;
26.  إِلَّا قِيلًا سَلَامًا سَلَامًا
  Mereka hanya mendengar ucapan: Selamat! Selamat! (dari satu kepada yang lain).

Ayat 22-23 : ayat ini mengungkapkan bahawa di dalam syurga itu terdapat bidadari-bidadari yang cantik, jelita, putih berkilau laksana mutiara yang paling murni yang masih tersimpan dalam lokannya dan belum pernah dijamah tangan manusia serta tidak berubah warnanya untuk selama-lamanya.

Ayat 24 : ayat ini mengungkapkan sebab mereka mendapat nikmat yang luar biasa tersebut, iaitu merupakan balasan dan ganjaran bagi apa yang telah mereka kerjakan di dunia, seperti menunaikan kewajipan, mematuhi perintah Allah SWT dan menjauhkan diri dari larangan-larangan-Nya. meraka bangun di tengah malam, melaksanakan solat, memuji, berzikir dan merenung kebesaran Allah, memohon ampun daripada-Nya serta berpuasa di siang hari. Maka wajarlah mereka mendapat balasan nikmat atas apa yang telah mereka kerjakan semasa di dunia.

Ayat 25-26 : Ayat ini mengungkapkan bahawa di dalam syurga tidak akan terdengar ucapan sia-sia yang memuakkan yang tidak layak diucapkan oleh orang baik-baik yang mempunyai akhlak yang tinggi, lebih-lebih lagi kata-kata yang menimbulkan dosa. Di sana hanya ucapan-ucapan salam.

Dalam ayat lain yang bermaksud : "Doa mereka di dalamnya (syurga itu) ialah : "subhanaka Allahumma" (Maha suci Engkau Ya Allah), dan salam penghormatan mereka ialah : "salam" dan penutup doa mereka ialah : " Subhanaka Allahumma" (Maha suci Engkau Ya Allah)". Jika di dunia ini manusia berdoa mengharap dan memohon sesuatu yang diingini, tetapi di syurga tidak ada lagi yang akan di pohon, kerana semuanya sudah tersedia. Oleh itu penghuni syurga tidak lagi meminta apa-apa, sebaliknya mereka hanya bertasbih memuji nama Allah atas segala nikmat yang sungguh luar biasa dan menakjubkan itu.

Tuesday, 18 June 2013

Huraian surah Al Waaqiah Ayat 45-50


45.  إِنَّهُمْ كَانُوا قَبْلَ ذَٰلِكَ مُتْرَفِينَ
  Sesungguhnya mereka sebelum itu dilalaikan oleh kemewahan (dunia, dari mengingati hukum Tuhan).
46.  وَكَانُوا يُصِرُّونَ عَلَى الْحِنْثِ الْعَظِيمِ
  Dan mereka pula sentiasa melakukan dosa yang besar,
47.  وَكَانُوا يَقُولُونَ أَئِذَا مِتْنَا وَكُنَّا تُرَابًا وَعِظَامًا أَإِنَّا لَمَبْعُوثُونَ
  Dan juga mereka selalu berkata: Adakah sesudah kita mati serta menjadi tanah dan tulang, betulkah kita akan dibangkitkan hidup semula?
48.  أَوَآبَاؤُنَا الْأَوَّلُونَ
  Dan adakah juga datuk nenek kita yang telah lalu, (akan dibangkitkan hidup semula)?
49.  قُلْ إِنَّ الْأَوَّلِينَ وَالْآخِرِينَ
  Katakanlah (kepada mereka): Sesungguhnya orang-orang yang telah lalu dan orang-orang yang terkemudian,
50.  لَمَجْمُوعُونَ إِلَىٰ مِيقَاتِ يَوْمٍ مَعْلُومٍ
  Tetap akan dihimpunkan pada masa yang ditentukan pada hari kiamat yang termaklum.

Ayat 45 : Golongan kiri ini semasa di dunia, hidup dalam kesenangan, dilimpahi kemewahan dan mengejar kesenangan diri, tanpa mengambil berat apa yang disampaikan kepada mereka oleh para rasul. Mereka menikmati pelbagai makanan dan minuman yang lazat-lazat serta tinggal di dalam rumah yang mewah dan besar. Golongan ini juga mendapat kedudukan mulia serta disanjung pada ketika itu. Mereka tenggelam dalam arus syahwat, sehingga tidaklah hairan jika mereka diazab di akhirat dengan hal-hal yang berlawanan dengan nikmat yang mereka perolehi di dunia ini.

Ayat 46 : Ibn kathir menerangkan bahawa maksud وَكَانُوا يُصِرُّونَ  ialah bersikap keras dengan tidak mahu bertaubat. Manakala  الْحِنْثِ الْعَظِيمِ  bermaksud kafir kepada Allah dan menjadikan berhala sebagai tuhan selain Allah. Ibn 'Abbas mengatakan bahawa yang dimaksudkan dosa besar dalam ayat ini ialah mempersekutukan Allah. Hal yang sama telah dikatakan oleh Mujahid, 'Ikrimah, Al-Dahhak, Qatadah, Al-Suddi dan lain-lainnya. Namun Al-Sha'bi mengatakan bahawa yang dimaksudkan dosa besar tersebut ialah sumpah palsu. Apapun dosa besar yang dimaksudkan ialah jelas mereka terus melakukannya dan tidak mahu bertaubat kepada Allah SWT.

Ayat 47-48 : Ayat ini menerangkan sebab golongan kiri diseksa dalam neraka. Golongan ini mendustakan hari kebangkitan. Bagi mereka tiada kehidupan selepas kematian dan tidak mungkin setelah daging-daging menjadi tanah dan tulang-temulang telah hancur begitu lama akan dibangkitkan semula. Pada ayat lain di terangkan keyakinan mereka terhadap hari berbangkit itu :

24.  وَقَالُوا مَا هِيَ إِلَّا حَيَاتُنَا الدُّنْيَا نَمُوتُ وَنَحْيَا وَمَا يُهْلِكُنَا إِلَّا الدَّهْرُ ۚ وَمَا لَهُمْ بِذَٰلِكَ مِنْ عِلْمٍ ۖ إِنْ هُمْ إِلَّا يَظُنُّونَ
  Dan mereka berkata: Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti) dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman. Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata.
Al-Jathiya [45:24] 

Ayat 49-50 : Keyakinan mereka itu disangkal oleh Allah SWT dalam ayat ini. Di sinilah Allah menegaskan bahawasanya seluruh manusia, dari golongan bani Adam, akan dikumpulkan pada hari kiamat.

Monday, 20 May 2013

Huraian surah Al Waaqiah Ayat 63-74

63. أَفَرَأَيْتُمْ مَا تَحْرُثُونَ
Maka (mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu melihat apa yang kamu tanam?
64. 
أَأَنْتُمْ تَزْرَعُونَهُ أَمْ نَحْنُ الزَّارِعُونَ
Kamukah yang menumbuhkannya atau Kami yang menumbuhkannya?
65. لَوْ نَشَاءُ لَجَعَلْنَاهُ حُطَامًا فَظَلْتُمْ تَفَكَّهُونَ
Kalau Kami kehendaki, sudah tentu Kami akan jadikan tanaman itu kering hancur (sebelum ia berbuah), maka dengan itu tinggallah kamu dalam keadaan hairan dan menyesal,
66. إِنَّا لَمُغْرَمُونَ
(Sambil berkata): Sesungguhnya kami menanggung kerugian.
67. بَلْ نَحْنُ مَحْرُومُونَ
Bahkan kami hampa (dari mendapat sebarang hasil)
68. أَفَرَأَيْتُمُ الْمَاءَ الَّذِي تَشْرَبُونَ
Selain dari itu, tidakkah kamu melihat air yang kamu minum?
69. ءَأَنْتُمْ أَنْزَلْتُمُوهُ مِنَ الْمُزْنِ أَمْ نَحْنُ الْمُنْزِلُونَ
Kamukah yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan) atau Kami yang menurunkannya?
70. لَوْ نَشَاءُ جَعَلْنَاهُ أُجَاجًا فَلَوْلَا تَشْكُرُونَ
Kalau Kami kehendaki, Kami akan jadikan ia masin, maka ada baiknya kalau kamu bersyukur.
71. أَفَرَأَيْتُمُ النَّارَ الَّتِي تُورُونَ
Akhirnya, tidakkah kamu melihat api yang kamu nyalakan (dengan cara digesek)?
72. ءَأَنْتُمْ أَنْشَأْتُمْ شَجَرَتَهَا أَمْ نَحْنُ الْمُنْشِئُونَ
Kamukah yang menumbuhkan pokok kayunya atau Kami yang menumbuhkannya?
73. نَحْنُ جَعَلْنَاهَا تَذْكِرَةً وَمَتَاعًا لِلْمُقْوِينَ
Kami jadikan api (yang tercetus dari kayu basah) itu sebagai peringatan (bagi orang-orang yang lalaikan kebenaran hari akhirat) dan sebagai benda yang memberi kesenangan kepada orang-orang musafir.
74. فَسَبِّحْ بِاسْمِ رَبِّكَ الْعَظِيمِ
Oleh yang demikian (wahai orang yang lalai) bertasbihlah dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Besar (sebagai bersyukur akan nikmat-nikmatNya itu).

Ayat 63-67 : Allah menyuruh manusia supaya memerhatikan tanaman yang mereka tanam, merekakah yang menumbuhkannya ataupun Allah? Tidak syak lagi bahawa tugas manusia hanya membajak tanah dan menanam benih, sedangkan yang menumbuhkannya adalah Allah SWT. Allah lah yang mengaturkan perjalanan hidup tanaman yang ditanam itu, yang tidak dapat dibayangkan oleh akal, iaitu satu perjalanan yang menakjubkan dan tidak dapat digambarkan bahawa dalam biji tanaman itu terdapat batang pokok, daun-daun dan tangkai yang mengeluarkan buah-buah.

Begitu jugalah kehidupan sesudah mati itu amatlah mudah bagi Allah untuk melakukannya, sama seperti menghidupkan biji yang sudah kering dan mati.

Ayat 68-70 : Allah menyuruh manusia berfikir, kehidupan setiap makhluk hidup di atas bumi ini bergantung kepada air, soalnya siapakah yang mendatangkan air yang diminum itu? Air hujan yang turun, kemudian meresap ke bumi, seterusnya menjadi telaga dan mata air untuk bekalan hidup seluruh makhluk. Kitakah yang menurunkan hujan itu atau Allah? sudah tentu Allah yang menurunkannya.

Para ahli sains menjelaskan proses terjadinya hujan bermula dari pengewapan air laut kerana panas matahari, kemudian wap air berkumpul di atas awan, lalu turunlah air laut menjadi hujan. Namun, bagaimanakah wap air laut naik ke atas awan?

Pengalaman Hamka, penulis tafsir al-Azhar, ketika beliau berlayar pada tahun 1954 dari tanjung pinang ke singapura, beliau berkata :

" Kira-kira pukul 2 siang, kelihatan langit menjadi keruh kerana awan yang telah nampak berkumpul-kumpul kehitaman, tapi belum tebal menghitam benar. Lalu tiba-tiba datang angin ribut yang agak besar, sehingga lautan yang kami layari agak besar ombaknya. Dan dalam waktu yang tidak lama kelihatan awan tadi menurun (menyerupai) "lidah" raksaksa yang menukik ke bawah dan kedengaran suara sebagai bunyi mesin di sebuah pabrik (kilang) besar. Lalu kelihatan pula awan tadi naik ke atas sesudah menjulurkan lidahnya ke dalam laut tadi. Dia naik kembali dan dengan kencangnya pula dia menuju berarak ke daerah sebelah selatan, iaitu semenanjung tanah melayu. di sana kelihatan dia menjadi awan tebal lalu jatuh jadi hujan. Kelihatan dengan nyata sekali bahawa awan yang turun sebagai lidah raksaksa tadi dan naik kembali ke udara dengan bunyi yang dahsyat itu ialah awan yang menarik air laut, dan di bawa ke daerah lain. Di daerah lain itu baru dia turun sebagai hujan. Dan waktu yang dipakai untuk menyauk air laut itu tidak lama, tidak cukup setengah jam, mungkin hanya sekitar seperempat jam sahaja, jelas hujan turun di daerah yang kita namai Malaysia."

Begitulah proses terjadinya hujan yang disaksikan sendiri oleh Hamka. Siapakah yang memerintahkan awan untuk menyauk air laut itu? siapa pula yang memerintahkannya pergi ke daerah tertentu untuk menurunkan air laut sebagai hujan? Air laut yang disauk oleh awan itu adalah masin, namun dalam beberapa minit sahaja diturunkan sebagai hujan yang tawar. Siapa yang menjadikan air laut itu masin dan siapa yang menjadikan air hujan itu tawar??

Ayat 71-73 : Ayat ini membawa maksud bahawa api yang kamu perolehi dengan menggosok-gosokkan kayu yang kamu ambil dari dahan pohon sebagai pemetik api sehingga dapat mengeluarkan api. Orang arab di masa lampau menggunakan dua jenis kayu untuk keperluan ini iaitu, kayu al Marh dan kayu al 'Ifar. Apabila masih hijau, lalu digosokkan antara satu sama lain, maka keluarlah percikan api dari keduanya.

sejarah manusia menemui api merupakan satu peristiwa yang amat besar. Tetapi kini api telah menjadi suatu perkara yang terlalu biasa dan tidak lagi menarik perhatian. Memang manusia yang menyalakan api, namun siapakah yang menciptakan bahan bakarnya? di sana ada satu perkara yang menarik perhatian apabila Al Quran menyebut "pokok kayu api".

Allah menjadikan api itu sebagai peringatan bagi manusia. apa maksud peringatan tersebut? Mujahid dan Qatadah mengatakan bahawa yang dimaksudkannya ialah untuk mengingatkan manusia akan api yang besar iaitu api neraka. Api juga dijadikan Allah sebagai penerang bagi para musafir.

Ayat 74 : Dengan kemajuan sains dan teknologi yang diberikan Allah kepada manusia pada ketika ini, bahan bakar tidak lagi berbentuk kayu, kita manggunakan minyak, gas dan api elektrik. Para musafir berjalan menggunakan kereta, kapal laut, kapal terbang dan lain-lainnya di mana bahan bakarnya berupa minyak dan gas. Kita kini diterangi dengan lampu minyak dan elektrik, bukan dengan api yang menyala membakar kayu api. Begitulah kehidupan manusia, dari satu generasi ke generasi semakin senang berkat kasih sayang dan rahmat Allah SWT. Sudah sepatutnya kita bertasbih memuji nama Allah dan bersyukur kepada Nya

Thursday, 19 April 2012

Huraian Surah Al Waaqiah Ayat 11-16


11. 
أُولَٰئِكَ الْمُقَرَّبُونَ
Mereka itulah orang-orang yang didampingkan (di sisi Allah),
12. فِي جَنَّاتِ النَّعِيمِ
(Tinggal menetap) di dalam Syurga-syurga yang penuh nikmat.
13. ثُلَّةٌ مِنَ الْأَوَّلِينَ
(Di antaranya) sekumpulan besar dari umat-umat manusia yang terdahulu;
14. وَقَلِيلٌ مِنَ الْآخِرِينَ
Dan sebilangan kecil dari orang-orang yang datang kemudian.
15. عَلَىٰ سُرُرٍ مَوْضُونَةٍ
(Mereka duduk di dalam Syurga itu) di atas takhta-takhta kebesaran yang bertatahkan permata;
16. مُتَّكِئِينَ عَلَيْهَا مُتَقَابِلِينَ
Sambil berbaring di atasnya dengan berhadap-hadapan.


Ayat 11 : Perkataan  أُولَٰئِكَ dalam ayat ini merujuk kepada orang yang mempunyai sifat mulia yang telah diceritakan dalam ayat sebelumnya iaitu as-sabiqun. Perkataan itu di gunakan untuk menunjukkan kedudukan mereka yang tinggi di sisi Allah SWT

Ayat 12 : Golongan as-sabiqun akan menetap dalam syurga yang dengan kenikmatan yang tidak  pernah dilihat mata manusia, tidak pernah didengar oleh telinga dan di luar khayalan manusia.

Ayat 13 - Ayat 14 : Golongan as-sabiqun banyak jumlahnya dari kalangan umat yang terdahulu, Dikisahkan tatkala turun ayat ini, para sahabat merasa risau dan susah hati, lantas  Rasulullah SAW  bersabda : "Aku berharap kalian menjadi seperempat penghuni syurga, sepertiga, bahkan sepenuhnya atau sebahagian ahli syurga." Ertinya kamu memenuhi separuh dan umat lain memenuhi separuh.

Kesimpulannya, Bilangan umat Nabi Muhammad SAW yang akan masuk syurga lebih ramai berbanding umat silam. Namun, Golongan As- Sabiqun umat terdahulu ramai kerana ia dicampurkan dengan bersama mereka umat para nabi silam. Jadi, logiklah mengapa kuantiti mereka jauh lebih ramai berbanding umat Nabi Muhammad SAW yang tidak dicampurkan kaum nabi lain.

Ayat 15 - Ayat 16 : Ayat ini menyatakan tentang nikmat-nikmat penghuni syurga dalam kalangan As-Sabiqun.

Wednesday, 21 March 2012

Huraian Surah Al Waaqiah Ayat 57-62


57. 
نَحْنُ خَلَقْنَاكُمْ فَلَوْلَا تُصَدِّقُونَ
Kamilah yang telah menciptakan kamu (dari tiada kepada ada wahai golongan yang ingkar), maka ada baiknya kalau kamu percaya (akan kebangkitan kamu hidup semula pada hari kiamat).
58. أَفَرَأَيْتُمْ مَا تُمْنُونَ
(Mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu memikirkan keadaan air mani yang kamu pancarkan (ke dalam rahim)?
59. أَأَنْتُمْ تَخْلُقُونَهُ أَمْ نَحْنُ الْخَالِقُونَ
Adakah kamu yang menciptakannya atau Kami yang menciptakannya?
60. نَحْنُ قَدَّرْنَا بَيْنَكُمُ الْمَوْتَ وَمَا نَحْنُ بِمَسْبُوقِينَ
Kamilah yang menentukan (dan menetapkan masa) kematian (tiap-tiap seorang) di antara kamu dan Kami tidak sekali-kali dapat dikalahkan atau dilemahkan;
61. عَلَىٰ أَنْ نُبَدِّلَ أَمْثَالَكُمْ وَنُنْشِئَكُمْ فِي مَا لَا تَعْلَمُونَ
(Bahkan Kami berkuasa) menggantikan (kamu dengan) orang-orang yang serupa kamu (tetapi tidak seperti bawaan kamu) dan berkuasa menciptakan kamu dalam bentuk kejadian yang kamu tidak mengetahuinya.
62. وَلَقَدْ عَلِمْتُمُ النَّشْأَةَ الْأُولَىٰ فَلَوْلَا تَذَكَّرُونَ
Dan demi sesungguhnya, kamu telah sedia mengetahui tentang ciptaan diri kamu kali pertama, maka ada baiknya kalau kamu mengambil ingatan (bahawa Allah yang telah menciptakan kamu dari tiada kepada ada, berkuasa membangkitkan kamu hidup semula pada hari akhirat kelak).


Ayat 57 : Dalam ayat ini, Allah mengemukakan hujjah dengan menerangkan bahawa Allah lah yang telah menciptakan manusia daripada tiada kepada ada, jika Allah mempunyai kuasa menciptakan daripada tiada kepada ada, apakah susah bagi-Nya untuk membangkitkan manusia semula?? 

Ayat 58-59 : Dalam tafsir fi zilalil Quran, dinyatakan bahawa peranan manusia dalam urusan penciptaan manusia tidak lebih daripada memancutkan mani lelaki ke dalam rahim perempuan. Selepas itu kudrat Allah lah yang menguruskan semuanya termasuklah meniupkan roh pada rahim.

Ayat 60-61 : Dalam tafsir Al Quranul Majid, di terangkan bahawa Allah yang menetapkan kelahiran kita dan Allah juga telah menentukan waktu kematian kita sesuai dengan kehendak-Nya. Allah sungguh berkuasa melenyapkan kita dan mendatangkan umat-umat seperti kita dalam fasa-fasa dan keadaan-keadaan yang kita tidak ketahui. Apabila Allah menentukan seseorang itu mati, maka tiada suatu kekuatan pun dapat menahannya. Allah juga berkuasa menggantikan sesuatu umat dengan umat yang lain. Para sarjana sosiologi dan antropologi banyak membincangkan tentang generasi terdahulu yang telah pupus di bahagian belahan dunia.

Ayat 62 : Disini Allah memberi memperingatkan manusia yang tidak percaya kepada hari kebangkitan bahawa Allah lah yang mampu menciptakan manusia pada kali pertama, maka untuk mengulangi menciptakan manusia kali keduanya nanti di akhirat kelak tentulah dia lebih mampu lagi. Orang yang tidak percaya itu sebenarnya adalah orang yang tidak mahu menggunakan akalnya.




 
Blogger Templates